Abbasid ke-22 al-Mustaqfi (r.944-946)

Abbasid al-Mustaqfi lahir pada 905M. Beliau anak kepada khalifah al-Muqtafi dan ibunya hamba berbangsa Greek bernama Ghusun. Beliau diangkat sebagai khalifah pada usia 41 tahun oleh panglima tentera Turki bernama Tuzun yang juga telah menurunkan khalifah sebelum ini al-Muttaqi serta membutakan matanya. Selepas Tuzun meninggal dunia amir umara yang mengganti beliau adalah Abu Ja’afar bin Syairazad.

Kehidupan rakyat Baghdad pada period pemerintahan al-Mustaqfi amat sengsara sehingga memaksa mereka makan haiwan seperti anjing, kucing serta rumput dan barang sisa buangan. Akhirnya Buwayhid (atau kelompok Buyid) yang dipimpin oleh Panglima Ahmad bin Buwayhid  maju mendekati kota Baghdad. Mereka telah merancang mara ke Baghdad sejak mendengar berita kematian Tuzun. Mendengar kedatangan pasukan Buwayhid al-Mustaqfi dan vizier lari keluar dari Baghdad. Maka Buwayhid dapat memasuki Baghdad dengan mudah tanpa pertempuran.

al-Mustaqfi kemudian masuk semula ke Baghdad dan beliau melantik Panglima Ahmad menjadi amir umara. Dengan itu Ahmad mula berkuasa mentadbir Baghdad dan beliau menggelar dirinya sebagai Amir Muiz ad-Daulah. Pembesar Buwayhid yang berkuasa adalah pendokong Syiah aliran Zaidiyah. Amir Muiz pada awalnya merancang menaikkan ahli keluarga Ali sebagai khalifah. Namun para pendamping beliau menasihati supaya hal itu dibatalkan.

Para pembesar Buwayhid amat berkuasa melebihi autoriti khalifah. Amir Muiz bertindak melantik seorang lagi saudaranya iaitu Panglima Ali bin Buwayh sebagai pemerintah wilayah Fars. Beliau diberi gelaran Amir Imadud ad-Daulah. Manakala seorang lagi saudara Amir Muiz bernama Panglima Hasan bin Buwayh mentadbir Isfahan dengan gelaran Amir Ruknud ad-Daulah.

Autoriti pembesar Buwayhid memang sangat berkuasa dan mencengkam Baghdad. Pada penghujung 334H/pertengahan 946M terbongkar pula rencana al-Mustaqfi hendak membunuh Muiz ad-Dawlah. Rencana ini diusahakan bersama Qahrimanat Illam dan mendapat persetujuan al-Mustaqfi.

Mendengar berita tersebut maka Muizz segera bertindak menghantar dua pembesar bertemu al-Mustaqfi dan Qahrimanat. al-Mustaqfi dan Qahrimanat telah diseret keluar dari istana dan diarah berjalan kaki mengadap Muizz ad-Dawlah. al-Mustaqfi dijatuhkan dari takhta, di hukum penjara serta matanya dibutakan. Manakala Qahrimanat pula telah dipotong lidahnya.

al-Mustaqfi hidup dalam penjara hingga kematiannya pada 949/950M ketika usia 42 tahun. Beliau memegang jawatan khalifah cuma setahun empat bulan. Seterusnya pengganti al-Mustaqfi sebagai khalifah adalah al-Muti (r.946-974). Beliau merupakan sepupu al-Mustaqfi.

Baca juga entri “Amir Ibn Raiq dan Muizz ad-Dawla” dec 2019 (link).

Sebuah musola/masjid dalam pembinaan di Sumatera Barat

– – – – –

One Response to “Abbasid ke-22 al-Mustaqfi (r.944-946)”

  1. Amir Ibn Raiq dan Muizz ad-Dawla | geoabbasid's Blog Says:

    […] Perlantikan Ibn Raiq berlaku ketika period pemerintahan Abbasid ke20, al-Radi (r.934-940) – entri dec 2009 (link). Kemunculan Buyid Muizz al-Dawla pula adalah ketika period Abbasid ke22, al-Mustaqfi (r.944-946) – entri jan 2010 (link). […]

Leave a comment